Tuesday, May 5, 2009

Kecemerlangan Institusi Pendidkan

Sejak merdeka, sistem pendidikan negara telah berkembang pesat dan pelbagai pembaharuan telah diperkenalkan. Pembaharuan ini berjaya menghasilkan sejumlah sekolah, kolej matrikulasi dan maktab perguruan yang cemerlang dan mampu melahirkan modal insan yang diperlukan negara.


Pendekatan ‘satu saiz untuk semua’ tidak lagi sesuai kerana ia mungkin akan menyebabkan institusi yang cemerlang ini sukar untuk melestarikan kecemerlangan. Pada waktu yang sama, adalah tidak adil untuk mengharapkan perubahan daripada institusi pendidikan yang masih belum bersedia dan bergelut dengan isu kekurangan kemudahan asas. Pendekatan yang lebih khusus penting, bagi memastikan kepelbagaian pendidikan untuk memenuhi minat dan potensi, kecenderungan dan kebolehan pelajar di pelbagai jenis sekolah.


Pada masa ini terdapat pelbagai pilihan jenis sekolah dalam sistem pendidikan negara. Pada peringkat rendah, terdapat SK, SJKC dan SJKT. Pada peringkat menengah pula, terdapat SBP, SMT, SMKA, Sekolah Model Khas dan SMK Harian.

Dalam kalangan sekolah-sekolah ini pula terdapat sekolah yang dikategorikan sebagai Sekolah Premier, sekolah yang mempunyai tradisi yang panjang seperti sekolah yang berusia 100 tahun atau lebih dan sekolah-sekolah di dalam persekitaran yang strategik serta mempunyai infrastruktur yang baik seperti sekolah-sekolah di dalam kejiranan Putrajaya dan Cyberjaya. Di samping sekolah-sekolah ini, KPM juga mengadakan sekolah khusus untuk pendidikan khas pada peringkat rendah dan menengah termasuk SMPKV. Selain sekolah KPM, terdapat juga sekolah yang dikendalikan oleh agensi lain seperti Maktab Rendah Sains Mara, sekolah swasta dan sekolah antarabangsa.

~dipetik daripada http://www.moe.gov.my/galeri_awam_manual/pipp2010/moe_pipp_09.pdf

No comments:

Post a Comment